Beribu-ribu Pejuang UMNO Perlis Keluar Parti …..

Perlis Indra Kayangan yang sedang ini tengah dahului Liga Super telah digegar dengan berita angin atau betul-betul yang lebih kurang seramai seribu ahli UMNO telah keluar dari parti. Malaysiakini ada melapor laporan ini. Benar atau tidak benar berita ini tidak dapat aku sahkan, kalau keluar berapa puluh ribu pun kalau dek kerana hampa dengan keputusan pucuk pimpinan tentang nasib ketua mereka, itu aku tidak peduli, kalau keluar kerana tidak percayakan perjuangan UMNO hari ini, aku alu-alukan.

Selepas pucuk pimpinan UMNO telah memutuskan bahawa Dr Isa Sabu selaku Menteri Besar Perlis sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO negeri dan ini bermakna bekas MB Perlis, YB Shahidan telah digugurkan tetapi tetap menjadi Ahli Majlis Tetinggi UMNO. Nampaknya mereka yang keluar dari UMNO kesal dengan keputusan tersebut dan dengarnya mereka memasuki PKR. Ada juga beberapa bahagian DAP di sekitar Perlis telah diwujudkan.

Aku tidak berapa setuju jikalau seseorang yang berlompat parti dek kerana kecewa ketua mereka hilang kuasa atau sebagainya. Bagi aku jikalau ianya boleh berlaku di dalam UMNO, tidak salah aku katakan akan berlaku juga kepada parti baru yang mereka masuki. Kita lihat buktinya, di dalam PKR sendiri, bagaimana ahli-ahli berpaling tadah jikalau permintaan mereka tidak dilayani, buktinya di Bukit Selambau. Bagaimana ramainya ahli parti yang bertanding atas tiket bebas dek kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pencalonan di Dun Bukit Selambau.

Tabiat ataupun perangai negatif ini akan terbawa-bawa dalam parti, permintaan mereka perlu dilayani, kalau tidak merajuklah jawabnya,. Kita tidak mahu ahli parti yang kemaruk akan kuasa ataupun wang, kita mahu ahli yang taat setia kepada perjuangan parti, tidak mengira wang atau kuasa, biar ahli biasa tetapi kita mempunya peranan yang besar hingga kita mencapai kemenangan dan apabila menang, paling penting kita perlu mempertahankannya.

Biarlah kita mengambil iktibar dengan perlakuan dan perangai bekas Adun Behrang dan Changkat Jering, bekas ahli-ahli Parti yang keluar seperti Ezam, Lokman Nur Adam dan sebagainya, mereka masih membawa perangai UMNO lama masuk ke dalam PKR. Jadilah Ahli Yang Taat Setia seperti rakan kita di PAS.

Mungkinkah Parlimen Batu Bakal Kosong?

Semenjak PRU Mac 2008 berakhir, terdapat banyak sekali Pilihanraya kecil terjadi, akibat kematian dan perletakan jawatan dan akan datang ialah Dun Penanti sedang menanti buat para pengemar pilihanraya untuk turun ke Penanti. Mengapa tajuk di atas menjadi pilihan aku oleh kerana YB Tian Chua perlu membela diri terhadap kes mengigit salah seorang Pegawai Polis di demo depan Bangunan Parlimen.

Pembelaan diri itu akan berlaku pada 20 hingga 23 Julai depan dan kami di Parlimen Batu mengharap sangat yang YB Tian Chua tidak bersalah dan jikalau didapati bersalah YB Tian akan didenda atau dipenjara atau kedua-keduanya. Tempoh dipenjara selama 3 tahun dan ini bermakna jawatan MP Batu akan hilang serta merta dek kerana setiap MP akan hilang kelayakan jikalau dipenjara selama setahun ataupun lebih.

Jikalau benar apa yang akan terjadi, maka warga Batu akan kehilangan seorang YB yang begitu kuat kerja dan menjalankan kerja-kerja yang berteraskan perjuangan untuk warga Batu. YB Tian Chua sebelum menjadi YB merupakan seorang pejuang masyarakat tidak mengira apa kaum, agama dan latar belakang. Perjuangan untuk masyarakat yang ditindas dek pembangunan yang cukup tempang.

Marilah kita berdoa bersama-sama sekarang hinggalah ke hari perbicaraan agar YB Tian Chua tidak didapati bersalah.

Najib tetap dengan keputusan tidak mahu bertanding di Penanti, apa helah mereka sebenarnya? Inilah satu sejarah telah tercipta semenjak Perikatan hinggalah ke Barisan Nasional ……

Isu Perak : Apa Kata Jangan Bubar DUN Perak …….

Apa Kata Jangan Bubar DUN Perak sebab depa kata guna duit banyak jadi Apa Kata kita suruh petualang Pakatan Rakyat di Dun Jelapang, Dun Behrang dan Dun Changkat Jering letak jawatan lepas itu kita adakan pilihanraya di ketiga-tiga kawasan itu semula, tidaklah menggunakan duit yang banyak.

Aku pasti kalau diadakan pilihanraya kecil di ketiga-tiga Dun tersebut, tiga orang petualang itu tidak akan dicalonkan semula sebagai calon Barisan Nasional walaupun kini mereka menyokong Barisan Nasional memerintah negeri Perak jadi dengan itu jadilah calon Bebas jikalau hendak menjadi YB lagi. Ini adalah jalan penyelesaian yang terbaik, aku dengar ada pemimpin dalam Barisan Nasional mahukan sistem menang-menang dalam pembincangan dengan Pakatan Rakyat jadi ini adalah cadangan yang terbaik sekali, oleh sebab mereka bertiga inilah suara rakyat Perak terhalang dan Perak menjadi kucar kacir.

Kita ”Test Power” tengok, siapa kuat, Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional? Kita tengok Suara Rakyat Perak memilih siapa?

Selepas DSAI, Siapa Penganti Beliau?

Datuk Seri Anwar Ibrahim kini digambarkan akan menjadi Perdana Menteri Malaysia jikalau Pakatan Rakyat mengalih tampuk kekuasaan di Malaysia. Hal ini diperkatakan kemungkinan dek kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih banyak kerusi Parlimen dari rakan mereka dalam Pakatan Rakyat. Jikalau PAS atau DAP memenangi kerusi lebih dalam PRU akan datang, siapa pun tidak tahulah yang akan menjadi calon Perdana Menteri pula.

Persoalan yang ingin aku bangkitkan ialah, kewibawaan kepimpinan dan kebolehan berfikir yang ada di dalam DSAI ini, siapakah calon yang akan mewarisinya. Kepimpinan di dalam PKR dan juga dalam Pakatan Rakyat? Di dalam PKR kemungkinan yang ada ialah YB Azmin Ali ataupun YB Saifuddin tetapi mereka ini tidak ketara setaraf dengan DSAI. YB-YB yang bukan berbangsa melayu pun, kita tidak boleh ketepikan kerana PKR merupakan sebuah parti yang berbilang bangsa, sesiapa sahaja boleh memimpin PKR.

Kerjasama yang berlaku dalam Pakatan Rakyat hari ini merupakan hasil kerja keras DSAI. Kita lihat sebelum DSAI keluar dari Penjara Sungai Buloh, Pakatan diantara PKN (ketika itu), PAS dan DAP telah berpecah dan selepas keluarnya DSAI dari penjara, nampak mereka semakin serasi kembali dan hasilnya keputusan PRU yang lepas.

Hari ini DSAI diwar-warkan untuk menjadi Perdana Menteri, pengalaman beliau ketika dalam kerajaan Barisan Nasional sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadikan beliau sebagai calon yang cukup sesuai jawatan Perdana Menteri. DSAI juga seorang manusia, sebagai seorang manusia, mati adalah akhirnya jadi siapa yang benar-benar seangkatan dan sejiwa seperti DSAI, ramainya hari ini mengatakan Datuk Seri Nizar selaku MB Perak dan MP Bukit Gantang mempunyai personaliti seperti DSAI, aku agak setuju.

Betapa teruknya YB Nizar dalam menyelamatkan hak rakyat di negeri Perak, sebegitulah Perdana Menteri yang kita cari untuk negara Malaysia ini. Bagaimana pemerintahan beliau walaupun beliau dikelilingi oleh ramainya pemimpin berbangsa lain, beliau tetap dapat bekerjasama dengan mereka. YB Nizar mampu menjadi seorang pemimpin yang cukup adil tanpa mengira apa bangsa, agama dan latar belakang rakyat yang dipimpin beliau.

Kita perlu memilih pemimpin yang dapat membawa Malaysia ini menjadi sebuah negara yang bersikap adil dan bukannya seperti negara demonkrasi kapitalis, yang kaya terus menjadi kaya dan yang ,miskin tidak terbela. Perjuangan yang berlandaskan agama Islam yang telah diakui sebagai sebuah agama yang begitu adil. DSAI hanya seorang tetapi perjuangan beliau dari zaman Universiti hingga kini telah dirasuk oleh ramai rakyat di Malaysia ini dan salah seorangnya YB NIZAR.

Zamry Kembali Berkuasa!!!

Belum selesai bergembira, keputusan Mahkamah semalam meragut kegembiraan kami, Allah S.W.T menguji kami semula. Mahkamah Rayuan telah memperkenankan penangguhan keputusan Mahkamah yang menyatakan bahawa YB Nizar masih lagi MB yang sah. Agak susah hendak mengambarkan, begitu cepat sekali keputusan penangguhan tersebut.

YB Nizar baru sahaja memasuki pejabat, pada petangnya terpaksa mengosongnya semula. Ibarat main-main dalam pemerintahan kerajaan Perak, yang tersempit ialah rakyat Perak. Tertanya-tanya siapa MB mereka yang sebenar. Inilah akibatnya suara rakyat dipinggirkan.

Mohon Bubar DUN!!!!

Mohon Bubar DUN!!!!

Mohon Bubar DUN!!!!

MB Nizar Sah Tetap Sah …..

Mahkahmah di Jalan Duta telah mengesahkan bahawa YB Nizar merupakan MB yang sah dan ini menyaksikan En Zambry kita terpaksalah berpindah rumah dan pejabat kembali ke Pangkor untuk meneruskan kerjaya beliau sebagai ADUN Pangkor. Maka ternyata suara rakyat kembali menggegarkan Mahkamah Jalan Duta dengan teriakan Takbir, Reformasi, Suara Rakyat dan Makkal Sakthi. Kesabaran yang kita harungi kita membuahkan hasil dan langkah seterusnya merayu kepada Baginda Sultan untuk membubarkan semula DUN dan menyaksikan pilihanraya semula.

Kesabaran dan terus menerus memperjuangan hak rakyat oleh MB Nizar dan rakan-rakan dalam Pakatan di Perak kini telah membuahkan seribu kemenangan, kemenangan ini juga ditujukan khas buat semua penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang selama ini terus berjuang, berdoa dan bertawakal kepada Allah S.W.T. Masih teringat lagi dikala kes ini baru disebut di Mahkamah, setelah kes ini disebut, kami semua bergegas ke Masjid Kampung Baru untuk menunaikan Solat Jumaat, ramai yang ternampak MB Nizar ketika itu, dan mereka mengatakan, inilah MB Perak yang kena pecat oleh Sultan. Mereka boleh faham dengan undang-undang tubuh negeri ketika itu tetapi lama-kelamaan baru mereka tahu pemecatan itu tidak sah, dan hari ini sudah pasti ianya tidak sah.

Hari ini, marilah kita mengucapkan syukur dengan keputusan ini, marilah kita berdoa kepada Allah supaya membuka pintu hati Baginda Sultan Perak untuk membuat keputusan membubarkan DUN dan mengembalikan suara rakyat ke landasan yang sebenar. MB Nizar dan Para Exco selamat kembali bertugas. Ada rintangan lagi yang kena hadapi, yang lebih besar lagi …….

suara rakyat

Suara Rakyat Perak Yang Dibisukan

Kisah tragedi di Sidang DUN Perak semalam menyingkap seribu pertanyaan dalam kepala otak aku ini. Mereka semua berpelajaran tinggi tetapi perangai mereka masih lagi kebudak-budakan. Suara Rakyat Perak kini menjadi bisu ketika ini, suara mereka pada Mac 2008 dahulu telah dibisukan oleh pemerintah pusat yang begitu zalim melakukan rampasan kuasa ke atas negeri Perak. Rakyat Perak secara majoritinya telah memilih Pakatan Rakyat untuk memerintah negeri Perak tetapi perkara ini tidak dapat diterima oleh Pemerintah Pusat, mereka melakukan perkara yang mereka haramkan dahulu, tetapi dengan keinginan yang meluap, mereka telah halalkannya.

Di Sidang DUN semalam, Raja Nazrin terpaksa menunggu lebih kurang 6 jam untuk merasmikan sidang DUN untuk penggal baru. Tidakkan, Tuanku merasakan isu ini telah melampau batasnya. Speaker yang sah dilantik telah diserat seperti binatang dari kerusi Speaker, mereka sewenang-wenangnya menukar Spekar seperti menukar pakaian pejabat ke pakaian tidur. Tuanku, boleh menilai bagaimana Zambry dan rakan-rakan yang beitu kemaruk kuasa sanggup melakukan apa sahaja perkara yang bertentangan dengan undang-undang Tubuh Negeri. Perkara yang sepatutnya, yang perlu lama dilaksanakan ialah pilihanraya semula, itu sahaja jalan penyelesaiannya. Hak Rakyat perlu dikembalikan, Perak kepunyaan orang Perak, jadi mereka berhak memilih siapa yang akan memimpin mereka. Lakukan pilihanraya semula, kita lihat Rakyat Perak memilih Barisan Nasional ataupun Pakatan Rakyat, jikalau siapa yang kalah terima hakikat, itu baru dikatakan ‘GentleMan’.

Sedih rasanya, mereka bergelut didalam dewan, rakyat terseksa diluar. Mereka tertawa kecil melihat sikap setiap ADUN mereka seperti kebudak-budakan, walhal setiap ADUN itu perlu melaksanakan amanah yang terlewat mereka kerjakan dek kerana isu rampasan kuasa ini. Dalam pemerintahan Pakatan Rakyat dahulu selama lebih kurang 11 bulan, pelbagai perubahan telah berlaku di negeri Perak, perpaduan sesama kaum bertambah erat tetapi ini disekat oleh rampasan kuasa oleh Barisan Nasional. Kini, berlarutan isu rampasan kuasa, siapa Menteri Besar yang sah akan diketahui isnin ini, moga-moga dengan keputusan ini, negeri Perak akan dijaga dengan baik sekali dan rakyat tidak terbiar seperti hari ini.

Apa pun keputusan Mahkamah, aku lebih gemar kuasa memilih pemimpin dikembalikan kepada rakyat, biar pilihanraya berlaku semula kerana SUARA RAKYAT PERAK KINI DIBISUKAN DEK KERANA KEMARUK AKAN KEKUASAAN.

Demokrasi Di Malaysia Gelap Gelita!!!

Semalam agak terkilan sedikit dek kerana perhimpunan tidak menjadi di Dataran Merdeka sempena memprotes penangkapan Abang Mat Sabu petang semalam. Aku dan Ketua AMK Batu, Saudara Rozan sampai di Pasar Seni pada pukul 8.30pm, berjalan menuju ke Dataran , ternyata kawalan ketat polis telah diadakan. berpuluh-puluh trak FRU telah tiba, semacam akan menghadapi puluhan ribu manusia pula. Kami seterusnya ke Masjid Negara untuk menunaikan solat Isyak dan mengharapkan, ada penyokong di sana tetapi ternyata semuanya hampa.

Berbalik kepada cerita penangkapan Abang Mat Sabu, agak terkejut juga apabila mendapat SMS dari ADIL, dan lantas membuka laman Malaysiakini untuk mengetahui dengan lebih lanjuut. Agak setuju dengan kenyataan isteri Mat Sabu, belum jadi lagi sudah kena tangkap. Tangkapan tersebut dipercayai sempena program solat hajat. Maka agak peliklah, solat hajat yang bertujuan baik telah disekat oleh penguasa, bukannya satu rancangan mahu merompak bank ataupun perbuatan jenayah. Itulah yang dikatakan butakan mata dan pekakkan telinga, fasal agama pun terpaksa menghalang.

Di Dataran semalam, agak pelik juga memikirkan keadaan disana, pihak berkuasa sanggup berkumpul beratus-ratus pegawai dek kerana perhimpunan yang belum sah lagi tetapi susah nak tengok anggota mereka meronda di kawasan perumahan untuk menjaga keselamatan. Contohnya di kawasan perumahan aku, aku lepak di kedai kopi selama sejam, susah nak tengok kereta peronda meronda di kawasan aku. Sepatutnya bagi aku, mereka perlu meronda setiap sejam sekali, bahagikan kereta peronda di setiap kawasan. Kes-kes pembunuhan kanak-kanak pun belum selesai, semacam payah nak cari pembunuhnya.

Chegu Bad pun kena tangkap kerana menyambut Hari Lahir Antantoya jikalau masih hidup, beberapa lagi aktivis juga ditangkap di Putrajaya semalam. Di Brickfields semalam, seramai 14 orang telah ditahan oleh pihak berkuasa kerana membantah penangkapan Wong, juga pengerusi Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami). Nampaknya makin ramai yang telah ditahan, tiada Satu Malaysia nampaknya, ingat dah perkenalkan konsep baru, ada perubahan dalam erti demokrasi, nampak demokrasi di Malaysia masih lagi gelap dan bertambah gelita.

9.45 am

Berita yang baru diterima dari SMS Adil mengatakan MP Ampang iaitu YB Zuraida dan puluhan penyokong Pakatan Rakyat dan Pemimpin Pakatan Rakyat telah ditahan oleh pihak berkuasa di Ipoh, Perak. Setakat ini semua Adun-Adun telah memasuki dewan untuk bersidang.

10.25am

Speaker Sivakumar mengarahkan Zambry dan 12 Adun BN yang telah digantung untuk keluar dari dewan dek kerana penggantungan mereka masih sah. Baru padan muka, guna mahkamah nak lawan kuasa speaker. Nak lawan speaker kereta bolehlah. Antara MP Pakatan Rakyat yang telah ditahan pihak berkuasa ialah MP dari Parit Buntar Mujahid Yusof Rawa dan wakil PSM bagi Sungai Siput, Xavier Jeyakumar. Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub juga turut ditahan.

11.30am

Nampaknya, semua orang dalam dewan semacam budak-budak kecil berebut permainan, semunya mahu bersuara di dalam dewan, seperti pasar jadinya. MB BN telah menukar Speaker iaitu Ganesan dari MIC tetapi Sivakumar masih tidak berganjak dari tempat duduk Speaker. Menurut laporan Malaysiakini, MB BN mahu tangguhkan persidangan dan diluluskan Speaker Haram yang dipanggil oleh Speaker Halal. Kita akan nantikan drama aksi ini selepas ini.

1pm

Nampaknya sidang akan dimulakan pada pukul 2pm kembali, pada ketika tadi perebutan kerusi antara Sivakumar dan Ganesan, sepatutnya mungkin kena ada muzik kerana ianya semacam berebut kerusi berirama ini. Perebutan antara mereka dihalang oleh Adun dari Pakatan Rakyat, sudah menjadi permainan galah panjang. Terdengar juga ADUN Bebas dari Jelapang telah diberi wang dari Adun-Adun Pakatan Rakyat, tetapi beliau menggoyaknya tanda beliau merajuk. Sambung lagi nanti ……

2.40pm

Nampaknya keadaan kembali ribut dengan campuran pihak berkuasa pula, mereka telah memasuki dewan, untuk apa? kita belum mengetahuinya. Janganlah gunakan pihak berkuasa. Penakut sangatkah kamu???

3.05pm

Nampaknya, pihak berkuasa bermain kasar dengan menarik secara paksa Sivakumar dari tempat duduknya dan diheret keluar dari dewan. Manakala beberapa Adun Pakatan Rakyat dibelasah oleh beberapa petugas di dalam dewan. Dewan kini berkelam kabut dan dalam keadaan porak peranda. Mengapa ini semua terjadi, Sultan Perak tolong lakukan sesuatu, semuanya rakyat Perak, tidak kira Pemerintah atau Pembangkang. Mohon Tuanku, bubarkan DUN, itu cara yang terbaik.

3.30pm

Nampaknya, Raja Muda Perak iaitu Raja Nazrin telah memasuki dewan untuk merasmikan sidang DUN untuk kali ini. Doa telah dibacakan, adakah ada kekacauan depan Raja lagi? Mari kita sama-sama nantikan. Speaker lama telah ditahan tetapi tidak tahu lokasi yang dibawa oleh pihak berkuasa. Semoga semuanya dalam selamat. MP dan beberapa penyokong masih lagi ditahan dan tidak tahu bilakah akan dibebaskan.

4pm

Raja telah selesai merasmikan sidang DUN kali ini, Raja bertitah selama setengah jam sahaja. MP Batu, YB Tian Chua ditahan polis ketika mahu menyambut kehadiran ADUN-ADUN Pakatan Rakyat ketika mereka keluar dari dewan. Abg Mat Sabu kita telah dibebaskan oleh Mahkamah Tanjung Malim petang tadi.

Kritik Pemerintah: Imam Di Pecat

Laporan hari ini di Malaysiakini mengatakan bahawa seorang Imam masjid di Bukit Damansara telah dipecat serta merta kerana telah menyampaikan khutbah Jumaat yang berkisar tentang penyeruan kepada pemerintah supaya adil, telus dan cara yang betul. Disebabkan salah seorang makmun solat Jumaat itu seorang MP Pemerintah maka MP tersebut terasa hati buat pihak pemerintah lantas melakukan sesuatu supaya imam tersebut menerima padah.

Kesian sungguh Imam tersebut, dipercayai telah berkeluarga. Sudahlah kehilangan pekerjaan, terpaksa menanggung keluarganya lagi, tetapi pun aku percaya yang imam tersebut tidak berasa bersalah atas kritikan tersebut malah pasti berlapang dada kerana telah menegur perkara yang benar, boleh dikatakan beliau tidak berdosa diatas bersengkonkol dengan kemungkaran oleh pemerintah.

Wahai rakyat Malaysia, anda lihat sendiri, pemerintah kita tidak boeh dikritik walaupun kita yang pilih mereka, jadi kita berhak sangat untuk menegur jikalau kita rasa mereka tidak betul tetapi lain pula jadinya, pemerintah lebih senang kita mengganguk dan memuji mereka. Awas! Jikalau anda mengkritik, pasti dibuang kerja atau lebih ganas anda diISAkan. Masihkah kita tidak membuka mata pelbagai peristiwa yang berlaku kepada orang agama. Ramlang Porigi dan mangsa terbaru, saudara Shamsul Firdaus.

Jadi, sokonglah wahai UMNO Fan sekalian, butakan mata dan hati anda buat selama-lamanya.

Selamat Menyambut Hari Buruh (Working Class Heroes)

buruh

Hari ini merupakan hari untuk para buruh berehat daripada bekerja di seluruh dunia, penat lelah mereka selama setahun hari ini terubat sedikit dengan penghargaan diberikan kepada mereka. Di Malaysia sudah pasti ada perhimpunan hari pekerja yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia yang baru iaitu Pak Jib yang disayangi. Sudah pasti ada anugerah-anugerah yang akan dikurniakan kepada kaum pekerja tetapi kaum pekerja kelas mana? Ternyata selalunya dikelas pertengahan dan ke atas mengikut gred masing-masing. Bagaimana dengan kaum buruh di binaan, kaum buruh di jalanan, kaum buruh di bawah matahari ataupun kaum buruh di estet-estet.

Mereka itu semua akan terpinggir dan terus terpinggir tetapi bukan anugerah yang diharapkan tetapi mahukan gaji yang lebih lumayan yang sepada dengan tahun 2009 ini. Negara Malaysia sudah mencapai taraf negara maju, mempunyai kemudahan-kemudahan yang mantap dan orang kaya yang begitu ramai sekali tetapi malangnya, kaum-kaum kelas bawahan terus dipinggirkan. Bayangkan pendapatan mereka dibawah RM800 sambil mereka menikmati harga barang-barang keperluan, yuran sekolah dan pelbagai lagi yang sama dengan kelas pertengahan dan mewah. Orang kaya sudah pasti tiada masalah untuk membayar segala bentuk perkara yang diperkatakan diatas.

Sempena hari buruh untuk tahun ini, marilah kita perjuangkan golongan bawahan. Mereka perlu dibantu segera, bukan mereka meminta sedekah dari golongan kaya tetapi cuba naikkan gaji mereka setaraf dengan kemajuan negara supaya mereka dapat bergerak selaju kemajuan negara. Kita perlu sedar yang kemajuan negara bergerak lebih laju dari taraf  hidup rakyat Malaysia, apabila tidak bergerak serentak maka terjadinya golongan miskin, maka negara yang masih mempunyai orang miskin tidak boleh diiktiraf sebagai negara maju. Tugas siapa semua ini kalau bukan tugas pemerintah, pemerintah yang memerintah selama 50 tahun, tetapi masih gagal lagi dalam hal golongan bawahan.

50 tahun merupakan satu tempoh jangka masa yang cukup lama, pelbagai perkara yang boleh dilakukan selama itu tetapi pemerintah hanya mengkayakan kroni mereka tanpa ada perasaan jemu. Negara kita mengamalkan sistem kapitalis yang sistem ini akan menindas kelas bawahan, bukannya pemerintah memperjuangkan konsep ”Berdiri Sama Tinggi, Duduk Sama Rendah”. Kekayaan yang ada di Malaysia sekarang perlu dikongsi di seluruh rakyat Malaysia tanpa memikirkan apa latar belakang mereka, agama ataupun bangsa. Tiada beza antara kita, yang gagah menolong yang lemah, itulah konsep yang perlu kita miliki, percayalah negara ini tidak akan ada orang miskin jikalau kita saling bantu-menbantu, yang kaya jangan terus bertambah kaya tanpa memperdulikan untuk meningkat taraf golongan miskin.

Kita tidak pernah memandang ke arah kampung-kampung, estet-estet ataupun peneroka bandar, hidup mereka melarat dek kerana tidak terkejar dengan kekayaan duniawi yang tidak dikongsi bersama. Ternyata pemerintah sekarang gagal dalam hal ini, gagal dalam merapatkan jurang kemiskinan, tetapi mereka ego tidak akuikannya. Itu sebablah aku menolak pemerintah dan memilih Pakatan Rakyat untuk platform perjuangan rakyat kelas pertengahan ke bawah. Biarlah kita mencuba Pakatan Rakyat memerintah selama satu penggal. kalau mereka seperti pemerintah sekarang, kita tolak lagi sehingga kita dapat mencari pemerintah untuk rakyat yang sebenar. Barisan Nasional sebagai pemerintah gagal secara total dalam perjuangan rakyat.

Selamat Menyambut Hari Buruh Buat Semua Buruh-Buruh Sedunia. Para pengunjung sekalian, kalau ingin tahu sejarah hari buruh layarilah http://dienim.wordpress.com/2008/04/28/sejarah-hari-buruh-se-dunia/ atau http://id.wikipedia.org/wiki/Hari_Buruh . Marilah kita bersatu untuk membentuk pemerintah dari, oleh dan untuk orang miskin.  MAYDAY ……….